KUCHING: Beting Patinggi Ali antara perairan Sarawak yang perlu dikawal sepenuhnya kerana sering diceroboh, khususnya oleh bot nelayan China.

Justeru, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata, pihak-nya bersedia bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memastikan kawalan di perairan berkenaan diperkukuhkan.

Namun katanya, kekangan dihadapi PPM termasuklah tidak mempunyai aset kapal besar untuk pergi ke perairan itu. Menurutnya, pada masa ini hanya APMM dan Tentera Laut yang dapat pergi ke perairan itu kerana mempunyai kapal yang besar.

Jarak Beting Patinggi Ali dari Miri adalah sekitar 100 batu nautika manakala Bintulu 80 batu nautika. “Beting Patinggi Ali ini kadangkadang diceroboh oleh kapal China, yang mengiring kapal-kapal nelayan mereka.

“Tetapi isu yang timbul di sini ialah tuntutan bertindih di antara Malaysia, China dan Vietnam,” katanya sambil menambah, isu berkenaan biasanya diselesaikan secara diplomatik antara Wisma Putra dengan Beijing. Shamsol berkata demikian ketika ditemui dalam majlis sukan boling antara PPM Wilayah Lima dan media di Megalanes, King Centre Kuching, semalam.

Tambahnya, setakat ini pihaknya banyak menerima kerjasama daripada APMM dan Pasukan Gerakan Udara dalam menjalankan pengawasan di kawasan perairan jarak jauh.

Jelas Shamsol, kolaborasi strategik bersama-sama APMM akan terus dimantapka pada masa hadapan bagi membantu kawalan di kawasan perairan yang lebih jauh berikutan aset bot APMM dijangka dapat digunakan ke kawasan yang lebih jauh.

Tegas beliau, biarpun tiada sebarang aktiviti pencerobohan warga asing di perairan Sarawak dilaporkan, namun langkah penguatkuasaan akan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Tiada laporan sebarang isu nelayan asing menceroboh sejak Disember tahun lalu hingga Februari ini. “Kita mendapati keadaan cuaca di laut bergelora,” tambahnya lagi.

Ujarnya, majlis tersebut diadakan bagi mengeratkan silaturahim pihaknya bersama pihak media di samping memberikan penghargaan atas kerjasama media dalam membantu menyalurkan sebarang maklumat.

Terdahulu, sekitar 100 peserta dalam kalangan media dan warga PPM hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.