KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata  bekas Adun Pujut Perlu membayar balik gaji yang diterimanya selama ini.

Asfia berkata, Setiausaha Dewan Undangan Negeri Pele Peter Tinggom akan mengemukakan notis bertulis kepada Dr Ting Tiong Choon untuk memohon pembayaran balik semua elaun diterimanya sebagai Adun Pujut sejak menang menerusi Pilihan Raya Negeri pada Mei 2016.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, Tiong Choon memenangi pertandingan empat penjuru  dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (Pas) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membatalkan kelayakan wakil rakyat DAP itu  sebagai Adun Pujut.

Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN Sarawak  mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Tiong Choon kerana beliau mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia meskipun melepaskan satu daripadanya sebelum bertanding pada pilihan raya negeri yang lalu.

Pada 13 Julai, Mahkamah Rayuan memutuskan DUN melangkaui kuasanya apabila melucutkan Tiong Choon sebagai wakil rakyat kerana beliau sudah memulangkan kewarganegaraan Australia sebelum memenangi kerusi DUN Pujut pada pilihan raya negeri, Mei 2016.

Pada 12 Mei 2017, Tiong Choon dilucutkan statusnya sebagai ADUN selepas  Datuk Seri Soon Koh yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang Sarawak membentangkan satu usul dalam DUN.