KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian adalah individu yang sesuai untuk menjelaskan harga sebenar pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Baru adalah orang yang tepat untuk menjelaskan isu tersebut dan bukannya Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

“Adakah beliau (Baru) cukup berani untuk memaklumkan kepada rakyat Sarawak kos sebenar lebuh raya itu? “Adakah ia RM16 bilion atau RM18.8 bilion atau RM21.9 bilion?” katanya dalam laman rasmi Facebooknya pada Ahad.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyatakan kos siling projek lebuh raya itu adalah RM16 bilion, bukan RM18.8 bilion atau RM21.9 bilion seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada minggu lepas.

“Menurut Fadillah, kos siling yang dipersetujui adalah RM16 bi-lion pada masa itu. Dan, apabila projek itu selesai, kos mungkin masih dapat dikurangkan lagi sebanyak RM1 bilion atau RM2 bilion.

“Chieng Jen harus tahu projek ini bukan projek Kerajaan Negeri, tetapi projek Kerajaan Persekutuan, dan yang membatalkan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) ini adalah Kerajaan Persekutuan iaitu Menteri Kewangan,” ujarnya.

Beliau juga turut menjangkakan kemungkinan besar Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak tidak dapat diselesaikan pada tempoh yang ditetapkan iaitu pada tahun 2021.

Tegasnya, pada ketika ini projek tersebut masih tergendala apabila PDP telah diketepikan dan perjanjian baharu perlu dibuat serta perlu ditandatangani semula.

“Melihat kepada banyak perbezaan dan pencarian berkenaan siapa yang patut menjalankan tugas dan sebagainya, saya rasa kemungkinan besar projek ini tidak dapat selesai atau tamat pada tempoh yang telah ditetapkan iaitu, pada tahun 2021,” katanya Abdul Karim turut berkata, hal tersebut bakal merugikan rakyat Sarawak kerana hanya selepas perjanjian baharu dipersetujui barulah projek itu dapat disambung semula.

Terdahulu Chieng Jen berkata, penamatan perjanjian PDP itu akan mengurangkan kos pelaksanaan keseluruhan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak daripada anggaran RM21.9 bilion kepada RM18.8 bilion, yang mampu memberi penjimatan RM3.1 bilion Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, penjimatan sebanyak RM3.1 bilion ini akan disalurkan ke Sarawak untuk projek lain. Chieng Jen berkata demikian bagi memberi maklum balas kepada kenyataan Fadillah baru-baru ini bahawa pembatalan model PDP dan perubahan yang diumumkan oleh Guan Eng akan meningkatkan kos projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Fadillah menyatakan pembatalan perjanjian PDP itu boleh mengundang risko kelewatan siapanya projek berkenaan daripada sasaran tarikh asal 2021.