KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan penerbangan terus Kuching-Jeddah dijangka bermula pada April atau Mei ini.

Memetik laporan berita tempatan, Abdul Karim berkata penerbangan ini adalah bagi memudahkan muslim di Borneo melaksanakan umrah tanpa perlu transit ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sedang mengkaji Kuching sebagai ‘Umrah Hub’ bagi jemaah umrah dari negara jiran seperti Kalimantan, Pulau Jawa Indonesia, Sabah dan Brunei juga dapat mengambil penerbangan terus ini dari Timur Tengah.

Pada 30 Disember tahun lalu, Abdul Karim menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan ATS Global Travel dan Charter Sdn Bhd bagi mengatur laluan penerbangan ‘haji’ meliputi Jeddah dan Medina sebagai usaha menjadikan Kuching sebagai ‘Umrah Hub’.

Menurutnya, adalah harapan bagi kerajaan negeri untuk Kuching menjadi pusat transit sekurang-kurangnya 100,000 hingga maksimun 300,000 jemaah umrah sekaligus meningkatkan pendapatan tahunan sebanyak RM50 juta hingga Rm150 juta untuk Sarawak.