KUCHING: Kuching telah dipilih untuk menjadi lokasi permulaan Sukan The Association For International Sport for All (TAFISA) ASIA yang julung kalinya akan diadakan pada tahun 2022.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan bahawa acara tersebut membawa tarikan yang unik di mana berkait rapat dengan budaya, tradisi dan sukan yang diadakan pada satu masa.

“Acara ini membawa elemen budaya, tradisi dan perhubungan yang baik di mana secara tidak langsung acara ini akan mampu mewujudkan keceriaan di dalam bandar Kuching kerana ianya mempunyai banyak elemen yang Sarawak miliki,” katanya di dalam sidang media sempena Majlis Pengumuman dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi penganjuran Sukan TAFISA-Asia, Sukan Untuk Semua Pertama di Sarawak, di pejabatnya, semalam.

Dalam pada itu beliau memberitahu sebanyak 80 buah negara dijangka akan menyertai acara sukan TAFISA-ASIA ini dan persediaan akan dilakukan seawal yang mungkin.