SARIKEI: Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mempertahankan hak-hak negeri terutama minyak dan gas dan Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, hasil daripada cukai jualan merupakan sumber pendapatan untuk membiayai projek-projek pembangunan di negeri ini.

Beliau berkata, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, kerajaan perlu bergantung kepada hasil minyak dan gas sebagai dana sendiri untuk membina jalan, jambatan, menyediakan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur yang lain.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Persatuan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA) Sarikei semalam.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat Sarawak untuk terus menyokong GPS dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Beliau juga percaya perpaduan yang kukuh dikalangan rakyat Sarawak amat penting untuk memastikan kemenangan GPS.

Tegas beliau, kerajaan GPS akan terus berunding dengan kerajaan persekutuan mengenai penurunan kuasa tanpa menyentuh hak autonomi negeri terhadap imigresen dan perkara-perkara lain termasuk hak-hak ke atas pelantar benua.