MIRI: Dua lelaki tempatan bersama dua wanita pelayan kelab malam warga Vietnam disyaki terlibat terhadap penemuan 1,122.43 gram dadah jenis Syabu ditangkap hasil serbuan polis di sebuah kondominium, Jalan Riam, Kampung Lopeng Tengah pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Hasnir Abdul Hamid berkata serbuan dilakukan oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkortik Dadah (JSJND) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada pukul 11.50 pagi di lokasi kejadian.

Menurutnya, keempat-empat suspek masing-masing berusia lingkungan 24 hingga 41 tahun ditangkap di tiga lokasi berasingan kawasan kondominium terbabit ketika serbuan dijalankan.

“Serbuan awal berjaya menahan suspek lelaki pertama berusia 41 tahun bersama satu peket plastik lutisnar berisi 0.35 gram syabu di poket seluarnya di tepi pondok pengawal dan suspek lelaki kedua, 39 tahun ditahan di luar pintu masuk lift kondominium berkenaan.

“Hasil pemeriksaan susulan di dalam bilik kondominium tersebut seterusnya menahan seorang wanita warga Vietnam, 25 tahun bersama 23 peket plastik lutsinar berisi ketulan syabu seberat 1,117 gram.

“Manakala seorang lagi suspek wanita Vietnam berusia 24 tahun ditahan pada jam 1 tengah hari susulan pemeriksaan pasukan ke salah sebuah kereta di tempat letak kenderaan kondo terbabit,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua buah kereta di kawasan tersebut turut menemui lima peket plastik lutsinar berisi 5.08 gram syabu dan dua biji pil Erimin 5.

Katanya, kesemua barang rampasan bernilai RM69,810 dan keempat-empat suspek telah dibawa ke BSJND Miri untuk tindakan lanjut.

Dedah beliau, turut disita, satu rantai emas, satu loket berbingkai emas, dua cincin emas, wang tunai, sebuah kereta Mercedes Benz dan sebuah kereta Proton bernilai RM109,495.00.

Hasnir menambah, kesemua suspek telah diluluskan reman selama lima hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati, dihukum sebat tidak kurang daripada lima belas kali.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih atas kerjasaama diberikan oleh masyarakat dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah serta mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak untuk membendung gejala tersebut daripada berleluasa di negeri ini.