KUCHING: Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG) sebuah organisasi bukan kerajaan telah menubuhkan Anjung Sayang iaitu penginapan percuma untuk ahli keluarga dan pesakit kanser terutama dari luar kawasan Kuching.

Anjung Sayang adalah penginapan sementara yang terletak Jalan Maxwell iaitu 10 minit perjalanan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurut Presiden SBCSG, Datin Juriah Sulehan, Anjung Sayang ini boleh menempatkan tiga buah keluarga pada satu-satu masa yang digunakan sejak November tahun lepas.

“Kami menyedikan tempat tinggal sementara untuk pesakit yang perlu menunggu kemoterapi atau rawatan radioterapi di hospital,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah semalam.

Beliau berkata, tempat tersebut diuruskan oleh jururawat dan beberapa individu yang pernah menjadi mangsa kanser.

“Selain memberi mereka tempat tinggat, kami juga ada memberi kaunseling kepada pesakit dan ahli keluarga bagi memberi mereka sokongan moral,”

Tambah beliau, SBCSG buat masa ini hanya mempunyai tiga kontena dan telah membelanjakan kira-kira RM100,000 hanya untuk mengubahsuai satu kontena kepada satu sebuah bilik.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Anjung Sayang boleh menghubungi Juriah di 019-827 4832.