KUCHING: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan kelayakan Adun DAP, Dr Ting Tiong Choon sebagai wakil rakyat Pujut.

Penghakiman dengan majoriti tujuh berbanding dua membolehkan mahkamah berkenaan mengketepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengembalikan semula Tiong Choon sebagai Adun Pujut.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana lebih tiga tahun sudah berlalu sejak pilihan raya negeri terakhir diadakan iaitu 2016.

Kelayakan Tiong Choon sebagai Adun Pujut dibatalkan pada 12 Mei 2017 selepas usul dibentangkan di Dun Sarawak kerana didakwa mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.

Mahkamah Persekutuan memutuskan Dun Sarawak mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Tiong Choon kerana mempunyai dua kerakyatan meskipun melepaskan satu daripadanya sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri lalu.

Pada pilihan raya negeri 2016, Tiong Choon memenangi pertandingan empat penjuru di Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).