MUNGKINKAH Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan dilaksanakan semula selepas kali terakhir pada 2012? Walaupun belum ada keputusan muktamad, namun Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan ada kemungkinan ia akan dilaksanakan semula.

Menurut beliau, para pelajar akan lebih menguasai ilmu sains dan matematik jika ia dipelajari dalam bahasa Inggeris. Malah katanya, ia adalah bahasa yang digunakan dalam industri dan persidangan sains.

“Bagi saya, penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang sains amat penting kerana ia bukan ilmu yang datang dari kita. Ia datang dari luar hasil daripada budaya yang berlainan daripada kita,” katanya.

“Budaya kita dahulu apabila berhadapan dengan masalah, kita salahkan kuasa ghaib dan makhluk halus. Itu pendekatan kita. Tetapi pendekatan saintis, mereka ingin tahu apa sebenar berlaku dengan membuat penyelidikan,” tegas Tun M.

Bagaimanapun, banyak pihak terutama ahli akademik mempertikaikan PPSMI kerana terbukti gagal selepas dilaksanakan pada 2003 hingga 2012. Sepanjang tempoh itu, ramai pelajar mengalami kemerosotan dalam subjek tersebut.

Malah beberapa kajian di universiti dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga menunjukkan PPSMI tidak berjaya walaupun sekitar RM8 bilion telah dibelanjakan sepanjang lapan tahun.

Malah gred sains dan matematik terpaksa diturunkan bagi mengimbangi pencapaian pelajar dengan subjek yang lain. Kita akui penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam mengharungi era globalisasi tanpa sempadan dan ledakan informasi tanpa henti.

Sebagai bahasa dunia, bahasa Inggeris tetap gah sebagai saluran percakapan nombor satu dunia, terutama dalam aspek ekonomi. Ia bukan sekadar bahasa pembelajaran di universiti, tetapi juga sebagai bahasa penting dalam sektor pekerjaan.

Bagaimanapun, untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, tidak semestinya melalui PPSMI. Ada banyak lagi cara lain untuk menguasai bahasa global ini.

Misalnya, cara pengajaran di dalam kelas perlu ditambah baik, agar ia menimbulkan keseronokan dalam kalangan murid atau pelajar. Contohnya memberi ruang yang lebih luas kepada pelajar untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut, walaupun dengan sebutan yang tidak betul.

Latih pelajar untuk kerap bercakap atau menulis dalam bahasa tersebut. Oleh itu, pertandingan perbahasan atau debat dalam bahasa Inggeris memainkan peranan penting untuk memahirkan pelajar.

Di samping itu, masa pembelajaran di dalam kelas hendaklah ditambah dari semasa ke semasa, bergantung kepada situasi dan keadaan. Para guru perlu diberi latihan dan pendedahan yang sewajarnya.

Guru yang mengajar bahasa tersebut mestilah menguasainya dengan baik dan mempunyai pendekatan pembelajaran yang berkesan. Kita perlu meletakkan guru yang benar-benar pakar untuk mendidik murid di sekolah rendah atau tadika.

Ini kerana didikan peringkat awal amat penting, agar mereka mendapat pembelajaran terbaik daripada guru yang terbaik. Yang pasti, seseorang yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik tidak semestinya lebih bijak atau lebih pandai daripada yang kurang menguasainya.

Ia hanyalah satu kelebihan, bukan jaminan. Namun selagi polisi di negara kita mementingkan bahasa Inggeris, maka selagi itulah kita perlu mempelajarinya dan menguasainya dengan baik.

Pada masa yang sama kita juga mesti menguasai bahasa ibunda, kerana ia adalah lambang bangsa dan negara. Keberjayaan sesuatu bangsa berkait rapat dengan bahasa ibunda.