KABONG: Seramai 1154 penduduk di kawasan Parlimen P. 205 Saratok layak menerima bantuan sara hidup (BSH) untuk fasa pertama 2020.

Penerima BSH berkenaan boleh menarik nafas lega apabila mereka boleh menunaikan baucar BSH masing-masing bermula hari ini.

Proses pembayaran BSH untuk kawasan Kabong bermula jam 9 pagi hari ini bertempat di Dewan Balai Polis Kabong dan berakhir jam 4. 30 petang.

Sementara itu bagi kawasan Saratok penunaian baucar BSH akan dilangsungkan di Saratok pada 13 Februari melibatkan seramai 877 penerima.

Penerima yang terlibat boleh melaksanakan urusan masing-masing di Dewan Masyarakat Saratok bermula jam 9. 00 pagi. Operasi berkenaan juga dijadualkan berakhir jam 4. 30 petang.

Bagi penduduk dari sekitar daerah Kabong dan sebahagiannya dari daerah Saratok yang tidak sempat berbuat demikian di sini hari ini boleh menunaikan baucar pada 13 Februari di Saratok.

Sesi penyerahan BSH berkenaan dikendalikan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama pihak Bank Simpanan Nasional (BSN).

Proses penyerahan BSH itu juga melibatkan kerjasama pihak polis, Rela dan JPAM.