KUCHING: Kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Kerajaan Persekutuan mampu menjimatkan RM3.1 bilion dengan penamatan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sebagai mengelirukan dan menipu.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof menambah, Guan Eng mendakwa mengurangkan 14 peratus kos pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak itu daripada RM21.9 bilion kepada RM18.8 bilion yang menyumbang kepada penjimatan tersebut.

“Sasaran kos siling asal projek ini berjumlah RM16.488 bilion bukan RM21.9 bilion dengan sasaran siap pada hujung tahun 2021. “Sehingga kini jadual siap berada di landasan yang betul sementara kosnya telah ditangani dengan baik,” katanya di sini, semalam.

Fadillah menambah, PDP mengumumkan pada Mac 2019 lalu bahawa mereka dapat mencapai penjimatan kos lebih RM2 bilion daripada kos asal kerana pengurusan kawalan perubahan yang cekap.

Meskipun demikian katanya, kos siling asal dikaji semula dan diturunkan kepada RM15.13 bilion baru-baru ini. “Angka ini jauh lebih rendah berbanding angka yang disebut Guan Eng iaitu RM21.9 bilion kos asal dan kos yang disemak semula RM18.8 bilion,” ujarnya.

Bekas Menteri Kerja Raya itu menambah, sebab utama Kerajaan BN sebelum ini menerima pakai model PDP adalah kerana kejayaan ia dalam projek MRT1 yang berjaya disiapkan di bawah bajet asal dan mengikut jadual yang disasarkan.

“Ia juga merupakan hasil daripada pengalaman kerajaan sebelumnya. “Dengan model PDP, syarikat diberikan insentif untuk berada dalam kos sasaran. Kos berlebihan akan menyebabkan penalti dalam bentuk pengurangan bayaran,” tegasnya.

Menurutnya, sebab itu Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan model PDP yang sama untuk projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bernilai RM46 bilion.

“DAP tidak mempunyai rekod prestasi cemerlang untuk memenuhi kos sasaran dan tarikh disiapkan bagi projek infrastruktur di Pulau Pinang. “Maka, dengan pembatalan model PDP dan perubahan yang diumumkan oleh Guan Eng, projek Pan Borneo Sarawak kini berisiko lewat disiapkan berbanding sasaran penghujung 2021.

“Projek ini juga berisiko meningkat daripada sasaran kos semasa RM15.13 bilion. Apabila perkara ini berlaku, semua rakyat Sarawak harus tahu siapakah yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Semalam Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan mampu menjimatkan sebanyak RM3.1 bilion melalui penamatan perjanjian PDP projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Menurutnya, dengan penamatan perjanjian tersebut, implikasi kewangan keseluruhan untuk pelaksanaan projek telah dapat dikurangkan sebanyak 14 peratus daripada anggaran implikasi kewangan sebelum penamatan perjanjian PDP.