BINTULU: Setiap kampung perlu mempunyai pemadam api bagi membolehkan pemadam api dilakukan lebih awal sekiranya berlaku kebakaran dan sementara menunggu kehadiran pihak Bomba.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Integriti dan Ombudsman Datuk Haji Talib Zulpilip berkata pihaknya berterima kasih kepada sebuah syarikat tempatan Serba Dinamik Sdn Bhd yang memberikan khidmat sosial dengan memberikan pemadam api kepada 7 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Jepak.

“Setiap kampung di kawasan Jepak perlu mempunyai mesin pemadam api kerana jarak perjalanan dari Balai Bomba dan Penyelamat yang terdekat ke Kampung Jepak sejauh 25 kilometer.

“Perjalanan yang jauh ini pastinya memakan masa yang panjang dan adanya pemadam api ini boleh memadam kebakaran lebih awal daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Mesin Pemadam Api dari Serba Dinamik Sdn Bhd kepada 7 JKKK Jepak dan Kursus Asas Memadam Api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu di Dewan Masyarakat Jepak pada Ahad.

Datuk Haji Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak turut memuji pengurusan Syarikat Serba Dinamik kerana berjaya mengamalkan nilai integriti yang tinggi.

“Kunci kejayaan syarikat Serba Dinamik kerana syarikat ini mengamalkan nilai-nilai integriti dari kakitangan sehingga kepada pengurusan tertinggi.

“Ini membolehkan syarikat ini menjadi sebuah syarikat minyak dan gas yang berdaya maju bukan hanya di dalam negeri bahkan di luar negara,” ujarnya.