KUCHING: Pendatang baru saingan Liga Premier 2020, pasukan Kuching FA enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam kempen liga yang bakal bermula pada 29 Februari ini.

Menurut Pengurus Pasukan Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman, pihaknya hanya mensasarkan untuk berada dalam kelompok pertengahan liga dan seterusnya kekal dalam saingan musim depan.

“Kami juga menyasarkan untuk sampai ke peringkat suku akhir saingan Piala FA,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat Pasukan Liga Premier Dan Piala Presiden Kuching FA di Kuching pada Ahad.

Dalam majlis itu, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak, Dato Posa Majais merasmikan pelancaran jersi pasukan itu.

Jelasnya lagi, Kuching FA akan mengadakan satu majlis pertemuan khas dengan para peminat sebelum saingan liga bermula kelak.

Kuching FA pada musim ini diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import asing iaitu, penyerang Hudson Dia De Jesus, Leonardo Passos Alves, Yuta Suzuki dan pemain pertahanan Yuki Tanigawa.