Friday, July 1, 2022

Kenyataan tidak matang seorang Menteri

Secara Rawak

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyelar kenyataan YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia merangkap Setiausaha Agung DAP, yang mengatakan bahawa Kelantan di bawah kerajaan PAS seolah-olah berada di zaman gelap atau “dark age”.

Menurut satu portal berita Free Malaysia Today, Lim Guan Eng turut menyindir bahawa perkara moden di Kelantan hanyalah kereta Mercedes Benz. Kenyataan-kenyataan sebegini tidak menunjukkan kematangan seorang Menteri Kanan dalam pentadbiran kerajaan.

Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa kerjasama UMNO-PAS sebagai “Muslim-dominated government” seakan-akan menakut-nakutkan rakyat Malaysia beragama lain, walhal rakyat di Kelantan contohnya, yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, dan Siam, hidup dengan aman dan bersatu-padu sejak PAS memerintah Negeri Cik Siti Wan Kembang itu selama lebih 22 tahun.

Perpaduan di Kelantan jelas terlihat apabila kaum Melayu, Cina, India dan Siam, fasih bertutur Bahasa Melayu dialek Kelantan dan tidak segan silu bersama-sama menikmati budu dan nasi belauk.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Parti DAP untuk cermin diri sendiri sebelum menuduh sesuatu gabungan politik itu bakal menjadi mudarat kepada rakyat Malaysia.

Kalaulah DAP sebagai sebuah parti yang mempunyai semangat Bangsa Malaysia, kenapakah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP didominasi oleh 24 orang kaum Cina daripada jumlah keseluruhan 30 orang, ataupun 80%. Selebihnya, 4 orang kaum India (13%), manakala kaum Melayu sekadar 2 orang atau 7%.

Walhal demografi penduduk Malaysia adalah 60% Melayu, 30% Cina manakala 10% India. Diharapkan Setiausaha Agung DAP ada jawapannya.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Menteri Kewangan untuk memberikan fokus kepada ekonomi negara, bukannya meluangkan masa berpolitik yang tidak habis-habis.

Nilai Ringgit harus diperkasakan, pelaburan asing harus dibawa masuk, pasaran saham harus diperkukuhkan, hutang negara harus diturunkan.

Sehingga hari ini, hutang negara makin bertambah daripada RM 686 Bilion sebelum PRU-14 kepada hampir RM 800 Bilion hari ini. Alangkah baiknya Menteri Kewangan fokus kepada kerja “core business” beliau untuk menguatkan ekonomi negara.

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru