PUSA: Cara pengeluaran gula apong memerlukan transformasi lebih canggih kerana ia sudah dikeluarkan ke negara Jepun dan Korea.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, industri gula apong mempunyai potensi besar.

“Kita sudah mengeluarkan gula apong ke Jepun dan Korea. Cara pengeluarannya harus diperbaiki lagi. “Kementerian saya pada masa ini sedang berusaha ke arah itu,” katanya berucap pada program Rindok Digital @ Pusa yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, semalam.

Kampung Tambak di Daerah Pusa dikatakan sebagai pengeluar gula apong terbaik di Malaysia. Uggah dalam perkembangan lain berkata, Kerajaan Sarawak menyediakan dana keseluruhan berjumlah RM9.1 juta di bawah Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) untuk dinikmati 6,078 nelayan di negeri ini yang terjejas akibat musim tengkujuh.

Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengambil berat perkara tersebut dan merasai kesulitan golongan itu. “Dulu ada bantuan dari Kuala Lumpur, tetapi sekarang kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM9.1 juta.

“BMTN bernilai RM300 sebulan juga akan dibayar untuk tempoh lima bulan (November hingga Mac) sepanjang musim landas,” ujarnya Jelasnya, BMTN akan memberi manfaat kepada 5,187 nelayan pesisir dan 891 nelayan darat.

Kerajaan Sarawak dalam pada itu menyediakan RM20 juta kepada nelayan untuk membeli peralatan menangkap ikan untuk meningkatkan lagi hasil tangkapan.

Menyentuh ekonomi digital beliau menambah, hasrat Abang Johari untuk membawa ekonomi digital ibarat pokok yang sudah berbuah selepas pelbagai usaha dijalankan untuk memperkasakannya.