KUCHING: Sebanyak 1,044 permohonan dikemukakan untuk Insentif Ibu Bersalin sehingga 5 Febuari tahun ini. Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, terdapat 428 permohonan diterima di Kuching untuk Bahagian Kuching.

“Daripada 428 permohonan, sebanyak 287 adalah secara manual manakala 141 permohonan dibuat secara atas talian,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di di Pusat LoveBond Care bertempat di Tingkat 1, Sublot 15, Cha Yi Goldland, Jalan Tun Jugah, Stutong di sini, semalam.

Permohonan juga dikemukakan melalui borang dan secara atas talian di bahagian lain antaranya Betong (37), Bintulu (97), Kapit (18), Limbang (16), Miri (71), Mukah (30), Samarahan (107), Sarikei (48), Sibu (84), Serian dan Sri Aman (36).

IIB juga dipohon oleh anak Sarawak yang berada di luar negeri ini seperti di Semenanjung Malaysia,Sabah, Wilayah Persekutuan dan jumlah adalah sebanyak 36 pemohonan.

Fatimah berkata, permohonan untuk IIB boleh dikemukakan apabila kandungan berusia 22 minggu dan dalam tempoh tiga bulan selepas melahirkan bayi. “Kita akan memberikan RM450 kepada ibu bersalin dan jumlah berkenaan akan dikreditkan kepada akaun bank masing-masing.

“Kami mempunyai 23 pejabat di peringkat daerah dan 12 di peringkat bahagian,” katanya. Terdahulu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana RM16 juta untuk melaksanakan IIB dan telah berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun ini.

Pelaksanaan IIB ini merupakan kali pertama untuk negeri Sarawak untuk membantu meringankan beban kewangan untuk membeli kelengkapan bayi dan lain-lain terutamanya ibu yang tidak bekerja dan datang daripada golongan berpendapatan rendah.