SERIAN: Kewujudan Borneo Empurau Farm and Resort Sendirian Berhad (Sdn. Bhd) bakal menjadi tarikan baharu untuk pelancong dari Austria berkunjung ke Sarawak.

Duta Austria ke Malaysia Dr Michael Postl berkata, Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd. menyediakan percutian yang tersendiri kepada pencinta alam sekitar apabila ia beroperasi kelak.

“Ini kali kedua saya melawat Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd. dan saya amat berpuas hati dengan pembangunannya dalam tempoh setahun.

“Tempat ini mempunyai potensi yang besar kerana dibangunkan secara komprehensif dan mementingkan teknologi hijau,” ujarnya selepas melawat Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd. di Batu 33, Jalan Kuching-Serian di sini semalam.

Menurut Michael, selain memperkenalkan pembangunan mampan dengan menanam sayur menggunakan sistem agroponik, kewujudan ikan empurau lebih menyerikan ladang itu.

“Dengan adanya ladang ikan empurau, saya berpendapat ia bukan sahaja menjadi satu tarikan kepada penduduk Sarawak malah seluruh dunia. “Ini adalah aset sebenar dan saya melihat ke hadapan untuk kembali semula ke Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, pihaknya akan mengambil peranan memperkenalkan Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd. kepada rakyatnya apabila ingin berkunjung ke Sarawak.

“Saya mencadangkan supaya Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd. dilengkapkan dengan kemudahan kereta kabel kerana dikelilingi gunung sebagai salah satu tarikan pelancong juga.

“Bagi merealisasikan kemudahan terbabit, kami sedia membantu dalam bidang kejuruteraan,” ujarnya.

Hadir sama pemilik Borneo Empurau Farm and Resort Sdn. Bhd Datuk Yong Fook Heng.