Terdapat spekulasi bahawa terdapat 16 ahli parlimen GPS disenaraikan dalam Pakatan Nasional bersama ahli parlimen lain dari PPBM (26), BN (33), PAS (18), PKR (15), Warisan (9) dan Bebas/ lain-lain (4) bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Pembentukan ini dikenali sebagai Pakatan Nasional.  Terdapat juga menyatakan daripada 31 ahli parlimen di Sarawak 11 menyokong Tun Mahathir, 10 menyokong Anwar Ibrahim manakala 10 lagi bersifat berkecuali. Dikatakan yang berkecuali tersebut adalah ahli parlimen yang pernah berkhidmat dalam kabinet BN di bawah pimpinan Najib Tun Razak.

Spekulasi ini tersebar di media sosial dan banyak dibincangkan  secara terbuka oleh pemerhati dan ahli politik serta akar umbi politik tempatan.  Perkara ini turut mendapat perhatian Gabungan Parti Sarawak (GPS). Mesyuarat Majlis Tertinggi GPS diadakan sama ada secara kebetulan atau diadakan berdasarkan jadual semasa mesyuarat turut membincangkan isu pembentukan kerajaan pakatan nasional.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku pengerusi GPS, Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Presiden Parti Demokratik Progresif Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan ahli Majlis Tertinggi GPS turut hadir. 

Hasil daripada mesyuarat tersebut,  Abang Johari selaku Pengerusi GPS menegaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan kekal bebas di sebalik spekulasi akan wujud Pakatan Nasional bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baru. Pengerusi GPS menegaskan akan terus bergerak sendiri dan hanya menjadi pemerhati perkembangan politik di Semenanjung Malaysia.

Abang Johari menegaskan bahawa GPS akan berdiri sendiri dan melihat hanya kepentingan Sarawak dan tidak ada kepentingan Sarawak dalam Pakatan Nasional.  Pendirian GPS ialah masalah politik yang berlaku di Semenanjung ialah bukannya masalah Sarawak. Usaha mengaitkan GPS bagi Pakatan Nasional ialah usaha untuk mendapat keyakinan pihak lain kononnya mencukupi daripada segi kerusi parlimen.

Motif Di sebalik Pakatan Nasional

Tindakan untuk membentuk pakatan nasional  di Semenanjung Malaysia ini mempunyai agenda  untuk menjaga kepentingan politik mereka sendiri. Bukannya  berdasarkan aspirasi rakyat. Aspirasi rakyat ialah mempertahankan mandat yang diberikan pengundi dan terus memelihara mandat tersebut. Sekiranya  membuat keputusan di luar mandat tersebut, ia menjadi isu moral politik pemimpin dan akan dihukum oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

Sekiranya ini berlaku ia seolah-olah menafikan kedudukan PKR sebagai parti yang terbesar yang memiliki 50 kerusi dan Dap yang memiliki 42 kerusi parlimen yang dipilih secara sah dan demokratik.  Kelompok ini seolah-olah tidak menghormati demokrasi, membina fantasi  dan falasi atas kepentingan kelompok mereka sendiri dan bukannya aspirasi dan kemahuan rakyat.

Ternyata juga ia seolah-olah seolah-olah suatu perancangan untuk menggagalkan  Anwar menjadi Perdana Menteri.  Hal ini kerana ada ahli politik yang bimbang kedudukan politik boleh semakin terancam dari segi siasatan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri,  atau apa-apa  yang lain yang boleh menjejaskan kedudukan dan masa depan politik mereka. Sudah pasti ada yang mahu sekutu mereka memegang jawatan yang strategik dalam kerajaan termasuk jawatan yang dipegang oleh Dap dalam kerajaan. Isu kononnya menghalang LGE dan DAP menjadi terlalu berkuasa tak timbul kerana Mahathir masih mampu mengawal kesemua kabinetnya.

Sebenarnya kerjasama Pakatan Nasional tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana pertemuan Anwar, Lim Guan Eng , Mohammad Sabu, Muhiyiddin Yassin  dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Isu ini juga tidak pernah dikemukakan dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Harapan (PH) atau dibincangkan oleh mana-mana pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Malah tidak pernah diakui oleh mana-mana pemimpin Pakatan Harapan. Justeru,  ia dilihat sebagai strategi propaganda yang sengaja dijaja pembangkang untuk meyakinkan rakyat sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Presiden PKR, iaitu Anwar Ibrahim sendiri.

Menurut Anwar, “Itu perkiraan daripada usaha beberapa tokoh pembangkang…dia kata enam daripada Amanah dan apabila kita periksa, tak betul…jadi ada usaha penipuan dalam langkah perang psikologi mereka. Ada 15 daripada PKR, tak betul dan saya periksa sendiri…yang pastinya jumlah itu terlalu ekstrem dan berlebih-lebih, tidak benar.

“Jadi perkiraan itu meleset dan mereka (pembangkang) kaitkan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), kaitkan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir dan ini tidak baik,” tegas Anwar baru-baru ini.  Mengenai Muafakat Nasional ia turut dipersoalkan oleh Anwar akan keperluannya memandangkan pembangkang khususnya UMNO telah pun diberikan mandat selama 62 tahun mentadbir negara namun akhirnya tumbang.

Kesesuaian Sabah dan Sarawak

Dalam konteks Sabah dan sarawak, isu Pakatan nasional perlu dilihat dalam konteks Malaysia yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama. Pembentukan Pakatan Nasional lebih kepada Naratif Melayu dan Islam.  Sedangkan terdapat 82 pemimpin bumiputera bukan Islam dan bukan Melayu bumiputera di Dewan Rakyat. Ini bermakna terdapat sekitar 37 peratus bukan Islam termasuk dari etnik Iban, Kadazan, Bidayuh, Cina dan India.  Hakikatnya, dalam konteks Malaysia memerlukan penglibatan kepelbagaian etnik.

Yang jelas Sarawak dan Sabah sudah pasti kurang selesa dengan  situasi tersebut. Reaksi Ketua Menteri Sarawak sendiri menegaskan GPS tidak akan terlibat dengan isu Pakatan Nasional tersebut kerana lebih bersifat isu berpusat di Semenanjung bukan masalah Sarawak. Sarawak mempunyai  keunikan yang tersendiri dalam politik, iaitu penglibatan pelbagai kaum bumiputera dalam satu parti sebagaimana dilihat dalam parti Parti Pesaka Bumiputera (PBB). 

Terdapat juga seperti parti PKR yang membuka kepada semua kaum  termasuk etnik Cina seperti parti SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP). Komponen inilah membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi tunjang kepada kerajaan negeri Sarawak. Jelas dalam konteks ini, idea kerjasama Pakatan Nasional tidak sesuai untuk Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun idea Pakatan Nasional dijangka akan berterusan dalam turun naik sentimen politik semasa. Pembangkang sudah pasti menggunakan isu ini untuk meraih sokongan rakyat dan menggugat kestabilan Pakatan Harapan. Dalam konteks ini kepimpinan Pakatan Harapan perlu lebih tegas bagi memastikan tidak ada usaha pihak yang cuba memecahkan PH daripada terus berleluasa. 

Langkah GPS, tidak campur tangan dalam masalah politik Semenanjung ialah langkah terbaik dan ini menambahkan kekuatan dan sokongan rakyat agar GPS terus berkecuali isu berkaitan Semenanjung Malaysia. Yang pasti  isu hak-hak Sarawak termasuk royalti dan penerokaan sumber minyak dan pembangunan Sarawak lebih penting dan perlu lebih diperjuangkan tanpa mengira sesiapa sahaja menjadi perdana menteri Malaysia.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.