BINTULU: Amalan rumah terbuka sempena sambutan perayaan setiap tahun telah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah binti Haji Morshidi berkata keistimewaan ini harus dipertahan dalam menyatukan dan menguatkan ikatan kemasyarakatan.

“Pada hari ini Bintulu menikmati kemakmuran dan aman di mana penduduknya dapat hidup harmoni antara satu sama lain.

“Ini adalah contoh yang baik untuk Sarawak terus menjadi negeri contoh dalam mengamalkan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia,” katanya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Bintulu anjuran BDA pada Sabtu.

Pelbagai persembahan dan acara telah diadakan antaranya tarian naga dan singa, Lao Sheng, penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan pemberian “Ang Pao” kepada pengunjung.

Rodziah menambah sejak penubuhan BDA pada 1978 berbagai pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat telah dinikmati masyarakat Bintulu.

“Misalnya, Taman Perindustrian Samalaju dan Zon Perindustrian Kidurong telah berjaya menarik jumlah nilai pelaburan kira-kira RM45.88 bilion sejak mula dibangunkan sehingga sekarang,” tambahnya.

Sehingga kini, Kerajaan Sarawak aktif dalam menarik para pelabur untuk melabur di dalam negeri ini.

Ini secara tidak langsung dapat menjanakan peluang pekerjaan yang banyak kepada masyarakat di Bintulu ini.