LIMBANG: Industri pembuatan seni parang di Limbang telah lama berkembang dengan produknya telah sampai ke luar negara selain perusahaan ini telah lama wujud dan dikenali di Daerah Limbang.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Hj Abdul Rahman Ismail berkata beliau menyokong cadangan bagi membina Bengkel Pembuatan Parang ini.

“Saya akan menyemak semula peruntukan dari Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk membina Bengkel Pembuatan Parang itu.

“Untuk membina bengkel tersebut memerlukan tapak, penjagaan dan mengurus tempat tersebut apabila siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan Bengkel Seni Kraf Penghasilan Parang dan Pengenalan Baja Kompos Bersama Komuniti Bahagian Limbang di Medan Letak Kereta Majlis Daerah Limbang pada Sabtu.

Pada majlis ini Datuk Dr Abdul Rahman turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Parang dan cabutan pemilik parang bertuah serta membuat lawatan ke booth pertandingan parang yang dikendalikan oleh Kelab Seni Parang Bahagian Limbang.

Sementara itu, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian bin Mohat berkata bengkel tersebut ia memerlukan pembelian mesin dan kelengkapan lain yang kosnya dianggarkan mencecah RM20,000 lebih.

“Sekiranya program yang dirancang Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) melalui NRDA itu dapat dijalankan, ianya pasti akan berjaya.

“Ia adalah peluang terbaik untuk masyarakat di Limbang mengetengah dan mempromosikan parang-parang mereka,” katanya.

Sufian turut memberitahu Majlis Daerah Limbang (MDL) telah menerima peruntukan RM200,000 dari Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak untuk menempatkan mesin baja kompos di Bangunan Pasar Limbang.

“Pihak MDL sentiasa memantau dan memberikan nasihat agar mesin tersebut digunakan sebaik mungkin.

“Orang awam dan peniaga digalakkan untuk menyimpan lebihan sayur-sayuran, ikan dan makanan mereka ke dalam mesin tersebut untuk diproses bagi menjadi baja kompos,” ujarnya.