SIBU: GPS bertekad untuk menakluki Sibu dalam pilihan raya negeri akan datang.

Kerusi DUN Sibu yang kini dikuasai DAP termasuk Palawan dan Bukit Assek.

Nangka pula dimenangi PBB oleh Dr Annuar Rapaee.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan meletakkan calon yang dapat memberi kemenangan kepada gabungan yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Kemenagan di Sibu penting bagi memastikan rakyat dapat menerima manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan, katanya.

“Yang penting apabila sampai masanya nanti, beri balik kuasa kepada GPS untuk meneruskan segala perancangan,” katanya.

Contohnya, kata Abang Johari, di Bukit Assek, kawasan itu kini dijaga orang lain.

“Banyak air di kawasan itu, banjir. Tetapi susah kita nak masuk dan bantu kerana kawasan orang. Jadi, kali ini kita akan masuk ke Bukit Assek untuk pastikan kuasa diberi kepada GPS,” katanya pada majlis pelancaran GPS zon sembilan di Dewan Suarah Sibu di sini, semalam.

“Kita ada pelan induk untuk Sibu, tetapi beri kami kuasa terlebih dahulu untuk melaksanakannya,” ujar beliau.

Katanya, kerajaan memerlukan mandat rakyat untuk merealisasikan impian itu.

“Ia memerlukan dana, tetapi selagi kita berkuasa selagi, kita tahu apa yang hendak dilakukan. Tetapi kita hendaklah pastikan kita menangi Sibu,”katanya.