KUCHING: Terdapat enam makmal kesihatan awam yang dikhususkan untuk menjalankan ujian pengesahan dan pengesahan virus novel koronavirus (2019- nCoV) di negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan antaranya ialah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Ipoh, Makmal Kesihatan Awam Johor Baharu dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

Selain itu, sebanyak 12 hospital juga dikhaskan untuk tujuan yang sama di negara ini. Hospital itu ialah Hospital Pulau Pinang, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Sungai Buloh; Hospital Kuala Lumpur; Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Hospital Melaka, Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu; Hospital Raja Puan Zainab II, Kota Bahru; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Umum Sarawak.

Sebelum ini, pada peringkat awal keupayaan makmal bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCov hanya terhad kepada IMR dan MKAK Sungai Buloh. “Kini sebanyak 12 makmal hospital dan empat makmal kesihatan awam dari seluruh negara telah dilatih oleh pihak IMR barubaru ini dengan menggunapakai protokol yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

KKM turut berkongsi tentang etika batuk dan bersin jika berada di kawasan awam, tempat kerja atau majlis tertentu yang ramai orang.

Antaranya ialah pakai penutup mulut dan hidung; palingkan muka daripada orang ramai dan makanan; elakkan pergi tempat sesak. Selain itu, jangan berkongsi sapu tangan atau tuala dengan orang ramai.

“Ketika batuk atau bersin, tutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan. Buangkan tisu ke dalam bakul sampah,” ujarnya.

Pada masa sama, elakkan menyentuh muka, hidung atau mulut. Setakat 7 Februari lalu, jumlah individu disahkan positif koronavirus di negara adalah 15 kes iaitu 11 warga China dan empat rakyat tempatan.