KUALA LUMPUR: Wisma Putra menyatakan bahawa Malaysia tetap bersetia kawan dengan China susulan wabak koronavirus yang melanda negara itu serta yakin bahawa ia berupaya untuk bertindak dengan berkesan mengatasi wabak itu.

Katanya dalam satu kenyataan, Malaysia berdiri dan akan terus berdiri dalam bersetia kawan dengan kerajaan dan rakyat China.

“Malaysia mempunyai keyakinan dalam persediaan, daya tahan dan keupayaan untuk bertindak secara berkesan untuk mengatasi wabak ini pada masa ini,” katanya.

“Sentimen ini juga dikongsi semasa panggilan telefon antara kedua-dua menteri luar negeri,” katanya lagi.

Wisma Putra berkata demikian bagi menjelaskan laporan berita mengenai penghantaran balik kakitangan diplomatiknya yang tidak diperlukan di China.

Jelasnya lagi, langkah itu bagi mengurangkan risiko pendedahan kakitangan Malaysia terhadap jangkitan wabak berkenaan, dan telah diputuskan selepas rundingan dengan Beijing.