Jumlah mangsa wabak koronavirus semakin meningkat dan membimbangkan rakyat China.

Media antarabangsa melaporkan sejumlah 69 kematian baharu direkodkan di wilayah Hubei, China semalam akibat jangkitan  koronavirus sekali gus menjadikan angka kematian di wilayah yang menjadi pusat penyebaran wabak tersebut meningkat kepada 636 mangsa.

Virus corona baru telah menjangkiti lebih dari 31,000 orang di China, menurut angka terbaru dari Komisi Kesehatan Nasional.

Virus ini menyebabkan jangkitan pernafasan teruk dan gejala biasanya dimulai dengan demam,  diikuti batuk kering. 

Menurut Suruhanjaya Kesihatan wilayah Hubei, sebanyak 2,447 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah terkini adalah 22,112 kes positif.

Kes baharu yang dilaporkan di wilayah itu menunjukkan penurunan berbanding laporan sebelum ini sebanyak 2,987 kes.

Pada Rabu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan di Beijing melaporkan penurunan dalam kes baharu iaitu  3,694 berbanding 3,887 pada Selasa.

Sementara itu,  Dr Li Wenliang, doktor di Wuhan, China yang telah memberi amaran tentang kewujudan koronavirus baharu (2019-nCoV) disahkan meninggal dunia pada jam 2.58 pagi semalam.

Perkara ini dimaklumkan Hospital Pusat Wuhan dalam kenyataannya melalui akaun media sosial weibo sebentar tadi.

“Pakar oftalmologi Li Wenliang dari hospital ini, yang menghidap pneumonia akibat jangkitan koronavirus baharu, meninggal dunia jam 2.58 pagi pada 7 Februari 2020 walaupun setelah berbagai usaha dilakukan,” kata kenyataan Hospital Pusat Wuhan melalui media sosial weibo.

“Kami ucapkan takziah dan meratapi pemergiannya,” kata kenyataan itu lagi.