2 Februari lepas, pada satu majlis di Limbang Sarawak, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa PRN 12 semakin dekat. Ini ternyata berbeza dengan pandangan beliau pada awal tahun ini apabila para wartawan bertanya tentang PRN 12 beliau menyatakan bahawa beliau belum memikirkan tentang pilihan raya dan tidak mungkin dilakukan dalam masa terdekat.

Kenyataan terbaharu Ketua Menteri berkaitan dengan PRN 12 ini jelas menunjukkan tidak mustahil PRN 12 bakal diadakan dalam masa terdekat iaitu kemungkinan besar pada bulan Mac. Perkiraan ini mengambilkira pada pertengahan Mac adalah cuti sekolah. Kebanyakkan sekolah akan digunakan sebagai tempat mengundi. Perkara ini sudah pasti salah satu perkiraan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh proses dalam pilihan raya termasuk tarikh pengundian.

Maka, sekiranya parti pimpinan Ketua Menteri iaitu GPS ingin membuka tirai pilihan raya pada masa terdekat tidak mustahil Ketua Menteri akan menasihatkan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua negeri Sarawak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada akhir bulan Februari atau awal Mac ini. Kini, ia terpulang kepada Ketua Menteri untuk membuka gelanggang pertarungan pilihan raya bagi mendapatkan mandat pertama beliau daripada rakyat Sarawak.

Momentum PRN 12 Sarawak ini kian hangat diperdebatkan. Beberapa siri kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sama ada peringkat parlimen atau DUN menguatkan lagi spekulasi bahawa PRN 12 Sarawak bakal diadakan dalam masa terdekat. Momentum perubahan rakyat yang tidak menyokong parti kerajaan (PH) dalam PRK mungkin menjadi pertimbangan GPS untuk mengadakan PRN 12 lebih awal. Keputusan PRK yang terkini iaitu di Parlimen Kimanis, Sabah menyaksikan sokongan kepada PH kian merudum. Penolakkan rakyat kepada PH dapat disaksikan dalam lima daripada sepuluh PRK yang telah diadakan dimenangi oleh pakatan pembangkang.

Kini, hanya di Sarawak belum diuji bagaimana tahap sokongan rakyat Sarawak kepada PH setelah menubuhkan kerajaan pada PRU 14 lepas. Segelintir kawasan di semenanjung serta terbaru di Sabah sudah menunjukkan bagaimana sokongan rakyat terhadap PH. Apa yang pasti, GPS yang kini merupakan parti pembangkang di peringkat persekutuan ternyata mendapat sokongan dan dukungan rakyat Sarawak semasa PRU 14 lepas. Kekalahan pada beberapa kerusi terutama kerusi majoriti Dayak iaitu di Puncak Borneo, Lubok Antu, Julau adalah disebabkan kesilapan dalam pemilihan calon yang ditolak oleh rakyat.

Persoalannya, adakah momentum penolakkan terhadap PH turut berlaku di Sarawak? Sejauhmanakah sentimen penolakkan terhadap PH ini boleh memberi kelebihan kepada GPS di Sarawak? Persoalan ini perlu diteliti sebaik-baiknya.

PH merupakan seteru sebenar GPS dalam menempuh PRN 12 nanti. Namun, tidak dinafikan sekiranya penolakan dilakukan terhadap PH serta GPS, maka parti-parti lain terutama PSB mungkin ada kelebihan untuk dipilih oleh rakyat Sarawak. Perkara-perkara ini harus diperhalusi sebaik-baiknya oleh GPS sebelum membuka tirai pilihan raya dalam masa terdekat.

Sekiranya, PRN 12 dilakukan dalam tahun ini dan tidak berlaku pada bulan Mac, kemungkinan besar PRN 12 bakal diadakan pada suku ketiga tahun ini. Lebih spesifik ia bakal dilakukan pada bulan Ogos atau September. Lebih tepat pada masa cuti suku ketiga persekolahan setelah mengambilkira banyak sekolah-sekolah digunakan sebagai tempat pengundian. Tidak mustahil juga ia akan dilakukan pada hujung minggu dalam bulan Ogos atau September. Hakikat adalah, apa-apa boleh berlaku dalam politik. Mandat PRN 11 empat tahun dahulu masih lama menjadi sandaran kepada GPS terus mentadbir Sarawak. Mungkin PRN 12 bakal dilakukan pada tahun hadapan.

Apa pun, hanya Ketua Menteri yang mengetahui bila beliau ingin membuka tirai kepada PRN 12 bagi mendapatkan mandat pertama beliau daripada rakyat Sarawak. Realiti, PRN 12 merupakan ibu kepada segala PRN yang telah dilakukan. Ini mengambilkira landskap politik negara yang telah berubah. Biar bila PRN 12 menjadi teka-teki kepada kita.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.