SIMUNJAN: Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Merbin Lisa mahu masyarakat Sebuyau bekerjasama dengan pihak polis menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Semua maklumat yang disalurkan kepada polis adalah rahsia. Ini bagi memastikan perkara negatif dapat ditangani secara telus, sekali gus memperlihatkan kerjasama jitu antara polis dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Jelajah Hari Bertemu Pelanggan dan Sesi Dialog Bersama Penghulu dan Ketua Kampung serta Ketua Masyarakat di Dewan Pembangunan Sebuyau, pada Selasa.

Menurutnya, IPD Simunjan juga akan diperkemaskan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di Sebuyau.

Tujuan utama program itu jelasnya, adalah untuk merapatkan lagi hubungan polis dengan masyarakat. “Ini termasuk berkongsi maklumat terkini berkaitan trend jenayah melibatkan dadah, jenayah komersial (Scam) yang kini menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat dan media.

“Dengan ini masyarakat akan lebih berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penjenayah,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Pegawai Daerah Sebuyau dan masyarakat Sebuyau atas respons berkaitan program yang dianjurkan oleh IPD Simunjan.