BETONG: Seorang lelaki dipercayai gagal mengawal emosi bertindak membakar sebuah kereta dan dua buah motosikal yang berada di tempat letak kenderaan sebuah stesen minyak Shell sekitar jam 8.53 pagi hari ini.

Difahamkan, suspek dikatakan berang selepas dituduh oleh pekerja Shell atas alasan tidak membayar minyak yang diambil lalu bertindak membakar kenderaan milik mangsa di bahagian belakang stesen berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Betong, PBK II Judi Numpang berkata kejadian mengakibatkan kenderaan terbabit terbakar 50 peratus.

“Setibanya di lokasi mendapati sebuah kereta jenis Myvi dan dua buah motosikal honda telah terbakar separuh.

“Kebakaran awal bagaimanapun sempat dipadam oleh ahli Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Betong dengan menggunakan lima alat pemadam jenis ABC debu kering,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi pemadaman diteruskan dengan satu aliran salur bantu mula air bagi memastikan api dikawal dan dipadam sepenuhnya.

Susulan kejadian, katanya suspek cuba melarikan diri dengan memanjat bangunan tandas stesen tersebut namun sejurus kemudian berjaya ditahan pihak polis.

Ujarnya, suspek kini telah dibawa ke Balai Polis Betong untuk siasatan lanjut.