Saturday, October 8, 2022

Syed Saddiq dikepung: Jemaah menteri kecam tindakan kasar

Secara Rawak

KUCHING: Jemaah menteri mengecam tindakan menyerang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 1 Februari lalu.

“Tindakan yang kasar tidak melambangkan akhlak yang baik perlu dikecam,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa mesti bertegas dalam menegakkan undang-undang tanpa berkompromi.

“Malaysia merupakan negara yang mengamalkan prinsip peraturan dan menghormati undang-undang.

“Semua pihak dikehendaki mematuhi undang-undang tanpa mengira sesiapapun,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana yang tidak mahu mematuhi undang-undang.

“Kami berharap setiap rakyat mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan,” jelas kenyataan tersebut.

Baru-baru ini, Syed Saddiq mendakwa diserang 200 individu berlagak seperti samseng dalam satu majlis di Ulu Tiram, Johor.

Disebabkan itu, beliau terpaksa menyelamatkan diri dengan melarikan diri menggunakan jalan tikus dan melompat pagar seperti orang bersalah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang turut mengikut tindakan Syed Saddiq.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu mendedahkan perkara tersebut dalam akaun Instagramnya miliknya.

Menurutnya, kumpulan yang berpakaian hitam itu muncul ketika beliau ingin berkumpul bersama-sama Srikandi dan Bahagian Bersatu.

Dalam video yang didakwa memaparkan kejadian itu, kira-kira 200 individu berbaju hitam didengar menjerit-jerit agar Anggota Parlimen Muar berkenaan meninggalkan Johor.

“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ kalau mahu pulang dari majlis,” tulis Syed Saddiq di dalam Instagramnya sehari selepas kejadian.

“Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadab dan kurang ajar.

“Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat,” tulisnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru