KUCHING: Seramai 26,731 bayi atau 80.26 peratus telah didaftarkan di bawah Endowment Fund Sarawak (EFS) pada tahun lepas. Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Sarawak mencatatkan sebanyak 36,117 kelahiran tetapi hanya 33,304 bayi anak Sarawak layak menerima EFS.

“Saya ingin memberitahu rakyat negeri ini bahawa EFS disambung pada tahun ini dengan dana sebanyak RM30 juta. “Oleh itu, ibu yang melahirkan bayi pada tahun lepas tetapi belum mendaftar, sila daftar EFS dalam tempoh satu tahun selepas kelahiran,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EFS di Baitul Makmur di sini, semalam.

Mengulas tentang mesyuarat itu Fatimah mengatakan, terdapat beberapa perkara dibangkitkan untuk menambah baik pengurusan dan pelaksanaan EFS.

“Antaranya penyelesaian bagi kes yang tidak dapat diputuskan sama ada layak menerima bantuan telah dibawa kepada jawatankuasa untuk dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Ini termasuk mengkaji kes ibu bapa yang memohon tetapi diisytiharkan muflis atau disenarai hitam, ibu atau bapa bukan warganegara, bukan penjaga sah dan bayi meninggal dunia,” tambahnya.

Kata Fatimah lagi, bagi anak Sarawak yang lahir di negeri lain pula, mereka boleh mendaftar di JPN Sarawak dalam tempoh satu tahun dari tarikh kelahiran. “Berdasarkan statistik tahun lepas, Bahagian Bintulu mencatat pendaftaran sebanyak 53.57 peratus yang menjadi bahagian paling sedikit mendaftar diikuti Kapit (69.68 peratus) dan Miri (76.23 peratus).

“Hanya Bank Islam dipilih untuk memberikan Sijil EFS,” katanya sambil menambah, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi pelaksanaan EFS pada 2019.

EFS bernilai RM1,000 seorang diberikan kepada anak Sarawak yang lahir bermula 1 Januari 2019 dan wang berkenaan diletak di bawah seliaan Bank Islam dengan kadar 4.2 peratus.

Wang berkenaan boleh dikeluarkan apabila anak berkenaan mencapai usia 18 tahun.

Turut hadir ialah Menteri Muda Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Rosey Yunus dan ahli jawatankuasa mesyuarat.