LIMBANG: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina lebih banyak lagi Anjung Usahawan di negeri ini bagi menggalakkan lebih ramai usahawan dan peniaga mengambil bahagian.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais berkata selain menjual dan memasarkan produk tempatan, Anjung Usahawan ini turut menyediakan perkhidmatan kemudahan alamat syarikat, lot-lot kedai, ruang pejabat dan bilik mesyuarat pelbagai guna untuk keperluan masyarakat setempat.

“Anjung Usahawan ini merupakan salah satu platform untuk masyarakat dengan menyediakan kemudahan-kemudahan kepada para usahawan antaranya alamat untuk pendaftaran syarikat, gerai makanan, lot kedai, ruang pejabat dan bilik mesyuarat.

“Ini akan diperluaskan di seluruh negeri Sarawak termasuk di bahagian utara ini,” katanya.

Ujar Datuk Mohd Naroden lagi, orang ramai perlu memanfaatkan segala perancangan dan program yang disediakan kerajaan menerusi beberapa agensi di bawahnya.

“Banyak kemudahan dan bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan antaranya Majlis Amanah rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Malah, Kerajaan Sarawak turut juga menyediakan kemudahan pinjaman kepada usahawan menerusi Skim Pinjaman Kecil dan Sederhana (SPIKS) yang dijalankan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak juga mencadangkan kemudahan Skim Micro Kredit untuk golongan B40 dan ke bawah bagi membolehkan mereka menceburi bidang keusahawanan,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Limbang ini memerlukan bantuan dari segi latihan, kewangan dan nasihat untuk lebih berdaya saing.

“Usahawan IKS di Limbang memerlukan beberapa bantuan dari MINTRED antaranya bantuan kewangan (modal), latihan kemahiran, kualiti dan pembungkusan serta nasihat upaya produk yang dihasilakan berkualiti dan dapat dipasarkan ke luar negara,” katanya.