KUCHING: Sebanyak 222 majikan di Sarawak didapati gagal mematuhi perintah gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sepanjang tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, Awang Raduan Awang Omar.

Beliau berkata kesalahan itu dikesan hasil penguatkuasaan ke atas 6,346 premis pekerjaan di Sarawak, dan majikan berkenaan telah diberikan notis untuk membetulkan gaji pekerja mereka.

“(Alasan) biasanya melibatkan keuntungan atau (berniaga) di tempat terpencil di samping mereka tidak mendapat maklumat tentang perintah terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Selasa seperti dipetik Bernama.

Awang Raduan berkata pihaknya sebelum ini telah membuat hebahan meluas berhubung perintah terbabit, bukan sahaja melalui laman web tetapi juga melalui radio dalam pelbagai bahasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi tempoh antara 2015 dan 2019, JTK Sarawak telah membuka 101 kertas siasatan bagi menyiasat majikan yang gagal membayar gaji minimum, dan daripada jumlah itu, 29 kes telah dihadapkan ke mahkamah dan 24 daripadanya telah disabitkan kesalahan.

“Selain itu, sebanyak 38 kes telah ditutup kerana ia telah diselesaikan manakala 34 kes yang lain masih dalam tindakan penyiasatan,” katanya sambil menambah jumlah keseluruhan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM194,203.57.