LAWAS: Penglibatan orang ramai dalam projek penanaman bunga ini telah membantu Majlis Daerah Lawas (MDL) untuk mencantikkan lagi Daerah Lawas dengan kecantikan bunga-bunga selain menambah pendapatan sampingan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Hj Awang Tengah Ali Hasan berkata program yang bermula tahun lepas itu, dilihat mendapat perhatian dan sokongan daripada masyarakat Lawas untuk sama-sama terlibat dalam mengindahkan Daerah Lawas sebagai sebuah daerah dalam taman.

“Saya berharap program ini akan berterusan dalam mempastikan benih bunga dan pokok harus mempunyai kualiti yang baik.

“Usaha ini bertujuan untuk menambah pendapatan selain sebagai hobi.

“Jika program ini berjalan dengan baik, ianya akan diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bayaran Wang Pembekalkan Bunga Landskap anjuran Majlis Daerah Lawas di Majlis Daerah Lawas pada Isnin.

Tambah Datuk Amar Awang Tengah lagi, Kerajaan Sarawak juga akan membina beberapa lagi taman awam di Lawas ini dalam usaha menjadikan Lawas ini sebuah kawasan yang menarik untuk dikunjungi.

Pada majlis itu, seramai 243 orang penerima telah menerima bayaran yang disampaikan Datuk Amar Awang Tengah sebagai menghargai usaha mereka dalam membantu MDL menyediakan bunga-bunga.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli Kedua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menjelaskan Kerajaan Sarawak ada menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan ini.

“Kerajaan Sarawak ada menyediakan bantuan kewangan yang boleh dipohon rakyat Sarawak iaitu Skim Mikro Kredit.

“Ianya akan dilancarkan tidak lama lagi. Mereka yang tiada mempunyai syarikat juga boleh memohon skim ini seperti mengusahakan tanaman bunga-bunga ini.

“Skim ini boleh dimohon secara individu dan merupakan pinjaman mudah. Sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan untuk Skim Mikro Kredit,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan orang ramai khususnya masyarakat di Daerah Lawas sentiasa memastikan kawasan persekitaran Lawas ini sentiasa bersih dan hendaklah dijaga dengan baik.