LAWAS: Program pembekalan bunga landskap untuk bahagian Lawas adalah satu inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.

Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Bin Ali Hasan berkata, inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu Majlis Daerah Lawas, bahkan boleh membantu masyarakat-masyarakat kampung di Lawas mengembangkan kemahiran penanaman bunga selain dapat menjana pendapatan mereka.

Tambah beliau, hasil-hasil yang diusahakan masyarakat kampung akan dibeli dan dihias di sekitar Lawas.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis penyerahan Bayaran Wang Pembekalan Bunga Landskap di sini, Isnin.

Ujarnya lagi, para penerima yang pada kali ini seramai 250 penerima harus memastikan penanaman mereka menggunakan benih-benih berkualiti.