BEIJING: China membuka hospital baharunya di kota Wuhan, wilayah Hubei, pusat asal tersebarnya Koronavirus 2019-nCoV bermula Disember lepas.

Ahad lepas, media kerajaan China melaporkan pembangunan Hospital Huoshenshan yang dibina dalam termpoh hanya 10 hari, sudah selesai dan dibuka pada Isnin.

Televisyen tempatan melaporkan 1,400 kakitangan kesihatan tentera termasuk yang berpengalaman dengan penyakit berjangkit tiba di Wuhan sudah dipindahkan ke lokasi hospital baharu tersebut.

Hospital kedua di Leishenshan dijadualkan siap esok, pada Rabu.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Nasional, Jiao Yahui memberitahu Reuters, dua hospital segera di kota Wuhan itu mampu menampung sehingga 10,000 pesakit.

Setakat ini, Suruhanjaya Kesihatan China mengumumkan kematian akibat Koronavirus 2019-nCoV di seluruh China meningkat kepada 425 orang.

Di Hubei sahaja kematian dilaporkan 414 orang.

AFP melaporkan di seluruh dunia terdapat 20,400 kes positif jangkitan wabak virus corona yang tersebar di 26 negara.