KUCHING: Golongan belia disaran untuk melibatkan diri dalam sektor koperasi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam bidang keusahawanan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg berkata, isu pengangguran belia masih menjadi cabaran global bagi semua pada masa kini.

Sehubungan itu beliau percaya, kepentingan koperasi dalam memajukan kepentingan negara tidak boleh diketepikan kerana pembangunan koperasi merangkumi banyak aspek pembangunan manusia dan komuniti.

“Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, terdapat lebih daripada 64 juta belia yang menganggur di seluruh dunia dan terdapat ramai pekerja muda yang hidup dalam kemiskinan. Saya tahu banyak anak muda kita yang berbakat, bekerja keras dan berpontesi,”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Forum Belia Global 2020 (GYF20) di Kuching hari ini.

Tambah beliau lagi, peranan koperasi dalam pembangunan sosial dan ekonomi juga menonjol dimana model perusahaan koperasi menyumbang kepada pekerjaan belia bukan hanya menyediakan kerja makan gaji tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan melalui bekerja sendiri.

“Pada keadaan yang sukar kini, kita perlu mempromosikan koperasi dan menggalakkan belia menjadi sebahagian daripada perusahaan koperasi malah Pertubuhan Buruh Antarabangsa pada tahun 2009 mendapati bahawa perusahaan koperasi di seluruh dunia telah menunjukkan daya tahan terhadap krisis kewangan dan ekonomi,” ujarnya

Dalam pada itu beliau menyifatkan GYR20 ini akan membantu para peserta menimba ilmu tentang keusahawanan koperasi dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu global bukan sahaja untuk ekonomi tetapi juga kepada masyarakat.

“Untuk tujuan ini, pilihan tema “Koperasi Keusahawanan” adalah sejajar dengan Agenda Pembangunan Lanjutan 2020 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG2030),”

GYF20 dianjurkan bermula hari ini sehingga 7 Februari 2020 melibatkan seramai 250 golongan belia dari 109 buah negara dan 50 peserta dari Malaysia membincangkan beberapa perkara dan isu termasuk peranan melalui teknologi maklumat dan media sosial.