KUCHING: Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, AADK berjaya memulihkan Kampung Lintang di Petra Jaya yang sebelum ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi (KBT) dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah di Sarawak.

Memetik Bernama, Zulkifli dalam kenyataannya berkata, berkat kerjasama penduduk setempat kawasan itu yang ditandakan dengan zon merah kini dipulihkan kepada zon hijau.

Ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) dan Klinik Cure & Care (C&C) Kuching di Puncak Borneo pada Isnin, beliau berkata, masih ada salah guna dadah di situ, tetapi jumlahnya jauh berkurangan.

Zulkifli memberitahu jumlah penagih dadah yang dikesan di Sarawak masih rendah berbanding negeri lain di Malaysia.

Zukifli turut mengesahkan terdapat 1,640 penagih dadah di CCRC di Sarawak atas perintah mahkamah.

Dalam pada itu, Zulkifli mendedahkan terdapat tujuh KBT dadah dikenal pasti di Sarawak dengan tiga kawasan terletak di Kuching, manakala dua di Samarahan dan dua lagi di Miri.