KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan terdapat tujuh kawasan berisiko tinggi (KBT) berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dadah dikenal pasti di Sarawak.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, tiga kawasan terletak di Kuching, manakala dua di Samarahan dan dua lagi di Miri.

Memetik Bernama, Zulkifli berkata KBT atau kawasan zon merah yang dikenal pasti di Kuching ialah Kampung Matang, Kampung Haji Baki dan Tabuan Melayu.

Manakala di Samarahan, kawasan berisiko tinggi ialah Kampung Tanjung Bundong dan Kampung Baru; sementara Bekenu dan Batu Niah ialah KBT di Miri.

AADK giat turun padang di kawasan berkenaan mendekati masyarakat dan meningkatkan kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti.

Menurut Zulkifli AADK amat memerlukan bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penduduk setempat dan ahli keluarga membersihkan KBT ini.