Hubungan ekonomi dan politik  memainkan peranan penting dalam  mana-mana masyarakat di dunia ini. Dua institusi sosial ini  saling berkaitan dan sukar dipisahkan di antara satu sama lain. 

Sekiranya dilihat dalam konteks negeri Sarawak hubungan kedudukan ekonomi berkaitan dengan pengaruh politik.  Ahli politik yang berpengaruh dilihat mempunyai tunjangan ekonomi yang kuat. Tunjangan ekonomi yang kuat datangnya daripada  kekuatan ekonomi perniagaan keluarga, saudara mara, rakan sekutu atau kolusi.  

Kekuatan politik Abdul Taib Mahmud ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak dikaitkan dengan sumber ekonomi yang kuat termasuk menguasai CMS, mempunyai rakan-rakan sekutu yang terdiri mereka yang menceburi  dalam sektor pembalakan, perladangan dan hartanah.

Big Six

Enam syarikat balak besar Sarawak atau dikenali sebagai ‘Big Six’ mengawal 70 peratus daripada  5 juta hektar kawasan konsensi di Sarawak. ‘Big Six’ ini menguasai sejumlah 3,724,675 hektar tanah hutan.  Kumpulan Samling merupakan konsesi yang terbesar dengan 1,288, 389 hektar, Rimbunan Hijau pula sebanyak 1,001,877 hektar, Kumpulan Shin Yang  memiliki 500,904 hektar, Kumpulan Ta Ann menguasai 433,003 hektar, Kumpulan WTK mempunyai 357,017 hektar manakala Kumpulan KTS pula menguasai 144, 485 hektar. 

Dalam sejarah ekonomi Sarawak kumpulan-kumpulan syarikat besar inilah yang banyak mencorakkan ekonomi Sarawak meliputi penerokaan kawasan-kawasan hutan, pembukaan jalan-jalan pembalakan, akhirnya menjadi sumber pekerjaan khususnya kalangan bumiputera di kawasan-kawasan luar bandar Sarawak.

Tanah-tanah yang diterokai melalui pembalakan, ada yang ditanam semula, ada pula ditanam dengan perladangaan kelapa sawit. Di kawasan yang mampu dibangunkan dengan lebih maju lagi, tanah diterokai menjadi kawasan perumahan atau menjadi sumber besar dalam sektor hartanah.

Sumber politik

Kuasa politik pula dikaitkan  dengan dukungan sumber-sumber ekonomi yang memberikan kekuatan kedudukan politik.  Penggunaan kuasa ekonomi politik lebih halus (subtle) dan terpendam (latent) dan kewujudan kuasa ini disedari, meskipun  tidak terlihat terbuka ia tetap memberikan dampak politik personaliti dan parti. 

Golongan yang menguasai sumber ekonomi mampu membentuk hala tuju politik  dan membuat tawar menawar terhadap kuasa politik politik. Maknanya, pengaruh politik yang luas turut dipengaruhi oleh kuasa ekonomi. Dengan kata lain, ahli politik yang berkuasa ialah individu yang boleh mengawal sumber kuasa politik dan ekonomi dengan bijaksana.

Sumber Ekonomi

Hakikatnya, dalam konteks politik semasa di mana-mana sahaja ahli politik  perlu sumber ekonomi untuk bertapak kukuh. Sukar bagi ahli politik bagi bergerak dengan licin dan efisien sekiranya menghadapi kekangan sumber ekonomi. Rakyat di akar umbi sentiasa dengan pelbagai tuntutan dan kemahuan yang kadangkala di luar tugas hakiki sebenar seorang ahli politik.

Masalah bil elektrik tidak berbayar, ketidakcukupan menanggung kehidupan  harian dan ahli politik dijadikan sumber sasaran kerana menanggapi bahawa ahli politik ialah penyelesai masalah rakyat. Seolah-olah wakil rakyat mempunyai pelita ajaib yang boleh menyelesaikan apa-apa sahaja.

Situasi sebegini menyebabkan ahli politik  baru mencari dan memperkuatan kedudukan ekonomi melalui penglibatan sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk melalui nominee mereka masing-masing.  Tanpa sumber kekuatan ekonomi yang kuat hayat politik mereka boleh terencat, terhambat dan kurang bermaya. 

Politik memerlukan jentera untuk bergerak di kampung-kampung dan cawangan-cawangan.  Penajaan sukan, aktiviti sosial dan budaya memerlukan sejumlah wang yang besar dan wang peruntukan yang sedia ada apabila sering digunakan akan kehabisan sebelum waktunya. Maka,  sumber dana tambahan diperlukan dan tanpa sumber ekonomi yang kuat maka risiko pengaruh dan kuasa akan pudar atau hilang.

Korporat bumiputera

Penglibatan bumiputera  dalam dunia perniagaan memberikan sumbangan  dan mempengaruhi politik negeri. Mereka yang terlibat dalam perniagaan ini  mendapat manfaat daripada dasar-dasar kerajaan yang sedia ada yang menggalakkan pembabitan bumiputera dalam dunia perdagangan. 

Dalam dasar ekonomi bumiputera ia lahir daripada dasar kerajaan dan protected capitalism melalui dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Pembangunan Nasional, peranan TERAJU dan sebagainya.  Golongan ini diberikan kemudahan dan bantuan untuk berjaya. Dalam konteks ini, mereka juga mempunyai naungan daripada elit politik yang lebih besar yang menguasai negeri atau negara.

Di sinilah berlakunya politik naungan, iaitu  pihak yang memberikan laluan ekonomi, kemudahan, akses yang menguasai politik elit manakala pihak yang bernaung ini pula akan memberikan sokongan  dalam bentuk material, professionalsme, kewangan dan sebagainya.

Perubahan Struktur 

Situasi ini mengubah sistem politik tradisional  daripada politik masyarakat tani atau peasant kepada perubahan kepada  penglibatan golongan pegawai kerajaan seperti guru, kini mulai dikuasai oleh ahli perniagaan dan profesional yang menguasai politik cawangan dan  bahagian. Strukur politik tidak lagi bersifat mudah atau berbentuk piramid. Situasi, corak dan struktur politik tahun-tahun 60-an lagi tidak lagi sama. Kini golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan ahli perniagaaan mulai mengambil tempat dan peranan dalam politik cawangan dan bahagian. 

Pola perubahan ini membawa kepada perubahan budaya politik semasa khususnya  budaya politik yang tradisi seperti penguasaan golongan guru semakin berkurangan dan diambil alih oleh golongan ahli perniagaan dan profesional ini. Penglibatan golongan ini dalam sumber dan aktiviti ekonomi semakin rancak hingga berlaku isu politik wang dalam pemilihan parti. 

Yang berkuasa mengawal sumber ekonomi dan politik akan sukar ditandingi manakala yang keupayaan ekonomi yang rendah sukar pula untuk memenangi dalam pemilihan parti. Fenomena  ini misalnya mewabak dalam budaya politik Umno hingga membawa kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu selepas lebih 60 tahun memerintah.

Apa-apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia sewajarnya menjadi iktibar dalam konteks politik di negeri Sarawak. GPS perlu bergerak ke hadapan dan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih bagi membina budaya politik yang lebih sihat.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.