ALOR SETAR: Gas ammonia dilaporkan bocor di sebuah kilang Kawasan Perindustrian Kulim Hi Tech di Kulim, malam tadi.

Bernama melaporkan, pihak bomba Kedah menerima panggilan 11.42 malam tadi dan tiba ke lokasi pada 12.06 pagi.

Pemeriksaan mendapati saluran paip gas ke Bahagian pengeluaran bocor di setor kilang itu.

Pihak bomba mengesahkan terdapat 59 pekerja di kilang tersebut semasa kejadian berlaku.

Komander operasi melaporkan 49 orang mengalami muntah-muntah dan 10 orang di hantar ke hospital dan dirawat di zon kuning.

Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.