KUALA LUMPUR: Setakat Ahad wabak Koronavirus 2019-nCoV merekodkan 304 kematian dengan 14,380 disahkan positif jangkitan virus tersebut di China.

Beberapa negara membawa pulang warganya yang berada di China khususnya dalam wilayah Hubei.

Memetik laporan AFP pada Sabtu, kerajaan China pula mengambil inisiatif menghantar dua pesawat sewaan untuk membawa pulang warga Hubei yang berada di luar negara.

Langkah diambil setelah lebih 30 syarikat penerbangan dunia mengumumkan menunda atau menggantung penerbangan melibatkan China ekoran penularan virus corona.

Sebuah pesawat sewaan dilaporkan mengambil dan membawa pulang 100 warga asal wilayah Hubei dari Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara, sebuah pesawat lagi membawa pulang 117 orang warga asal Wuhan, Hubei dari Bangkok, Thailand.

Menurut AFP, petugas kesihatan dengan baju keselamatan putih berdiri di pintu kabin pesawat yang dikatakan membawa penumpang dari Bangkok sebelum pesawat kedua tiba dari Kota Kinabalu.

Setakat Sabtu, Malaysia melaporkan terdapat lapan kes infeksi positif Koronavirus 2019-nCoV di negara ini yang semuanya melibatkan warga asal Wuhan dari Hubei.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan jumlah kumulatif suspek jangkitan koronavirus ialah 142 orang dengan enam orang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Manakala kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV, kekal 32 orang.

Manakala di Thailand, pada Jumaat pihak berkuasa kesihatan mengesahkan pemandu teksi Thailand yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, menjadi kes pertama jangkitan virus Koronavirus 2019-nCov yang disebarkan dari manusia ke manusia.

Pemandu teksi dikatakan mendapat jangkitan virus tersebut dari pelancong China di dalam teksinya.

Thailand kini melaporkan 19 diagnosis positif jangkitan koronavirus, termasuk pemandu teksi tersebut dan empat kes baharu melibatkan warga asal China.