KUALA LUMPUR: “Keluarga dan kawan-kawan di Malaysia jangan risau, kami okey dan selamat di sini,” kata Yeong Kai Yi , 26, warga Malaysia yang menuntut di Universiti Central China Normal di bandar Wuhan.

Penuntut tahun akhir Seni Halus itu mengaku bagaimanapun pergerakannya terbatas di kampus universiti sahaja, susulan Beijing melaksanakan perintah berkurung di beberapa bandar, ekoran penularan wabak Koronavirus 2019-nCoV.

Yeong dihubungi Bernama pada Jumaat dan mengakui dia risau keluar ke tempat awam.

Yeong memberitahu ketika ini hanya terdapat sekitar 100 pelajar antarabangsa termasuk dia dan dua lagi pelajar dari Malaysia di univeristi tersebut, setelah semua pelajar tempatan serta pensyarah pulang ke kampung masing-masing berikutan cuti semester.

Memberitahu agensi berita tersebut, Yeong mengaku pihak universiti sentiasa mengambil berat keadaan mereka dan berkongsi nombor kecemasan yang boleh dihubungi.

Dia berkata, setakat ini kantin dan beberapa kedai di kampus masih beroperasi.

Yeong mengaku sentiasa menghubungi keluarganya di Chemor, Perak.

Bernama melaporkan, pihak Kedutaan Besar Malaysia di China sentiasa menghubungi lapan pelajar di Wuhan,

sambil berusaha menghantar bekalan makanan kepada mereka yang ketika ini menghadapi masalah logistik.