JAKARTA: Tayar motosikal tersangkut pada leher buaya semenjak 2016 lalu di Palu, Sulawesi.

Kini, pihak berkuasa Indonesia menawarkan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang dapat membuka tayar tersangkut pada kepala haiwan liar itu.

Memetik Jakarta Post, Ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Alam Sulawesi Tengah (BKSDA), Hasmuni Hasmar berkata, peraduan dibuka kepada orang awam kerana agensi terbabit tidak mempunyai sumber cukup untuk mengesan buaya liar tersebut.

“Kami memberi ganjaran kepada sesiapa yang berjaya mengeluarkan tayar tersebut daripada leher buaya itu,” katanya.

Pada 2018, penjinak haiwan Muhammad Panji atau Panji Petualang cuba menyelamatkan haiwan itu, namun gagal.

Hasmuni mengakui pihaknya bekerjasama dengan organisasi dari Australia menyelamatkan buaya berkenaan, tetapi gagal juga.

Gabenor Sulawesi Tengah Longki Djanggola berkata, peraduan bertujuan mencari seterusnya membebaskan tayar tersebut dari kepala buaya berkenaan pada 2020.