SRI AMAN: Nasib malang yang menimpa 17 mangsa kebakaran di Rumah Panjang Daniel Lawi Guntong di Batu Lintang Undop Sri Aman pada 18 Disember tahun lepas mendapat perhatian Yayasan Sarawak.

Sumbangan sebanyak RM10,000 untuk meringankan beban pelajar yang terjejas akibat kebakaran tersebut diserahkan oleh Timbalan Pengarah (Khidmat Bantuan Pendidikan) Louis Simon Peter pada Selasa.

Sehubungan itu, Loius berharap beban ditanggung oleh ibu bapa yang mempunyai anak masih bersekolah dapat dikurangkan menerusi sumbangan berkenaan.

“Kami (Yayasan Sarawak) berharap sumbangan ini dapat membantu keluarga memberi peralatan persekolahan serta pakaian sekolah untuk anak-anak mereka.”

“Usaha ini akan membolehkan mereka (anak-anak) meneruskan persekolahan dengan peralatan sekolah yang selesa seperti pelajar lain,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis merakamkan penghargaan kepada Yayasan Sarawak kerana menyampaikan sumbangan pendidikan kepada pelajar tersebut.

“Saya berharap sumbangan daripada Yayasan Sarawak ini dapat membantu mangsa yang terjejas kerana bukan mudah untuk menghadapi kehidupan dalam serba kekurangan,” jelasnya.