Tuesday, June 28, 2022

Pan Borneo: Lembu punya susu, sapi dapat nama

Secara Rawak

MIRI: Lembu punya susu sapi dapat nama.

Itu perumpamaan tepat respons Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada pihak yang cuba mendapat kredit projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Katanya, pembinaan infrastruktur jalan raya itu merupakan usaha keras Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ketika hayatnya sebagai Ketua Menteri.

“Tanpa inisiatif berteraskan rakyat itu, maka tiadalah projek mega lebuh raya tersebut.

“Namun ada pihak yang cuba untuk claim projek itu sebagai usaha mereka. “Macam peribahasa lembu punya susu, sapi pula dapat nama,” katanya.

Ketua Menteri berkata, sehingga hari ini jajaran daripada pakej awal projek itu sedang giat dijalankan. Katanya, projek rakyat itu mesti diteruskan walaupun perubahan pemerintahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Ia bagi memastikan kelangsungan pembangunan terutama dari aspek infrastruktur jalan raya.

“Lebuh Raya Pan Borneo akan memberikan kesan yang positif kepada perubahan sosioekonomi rakyat. “Rakyat juga akan terima manfaat daripada projek tersebut dengan jaringan jalan raya yang baik menghubungkan satu kawasan ke satu kawasan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Miri di hotel terkemuka dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru