MUKAH: Sebagai pembuka tirai tahun baharu 2020, JKKK Teh Labak telah memulakan mesyuarat pertamanya sebagai satu pasukan yang baharu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Kaum (KK) Daniel bin Raping pertama ini melibatkan para Ketua dan juga Penolong Ketua Biro masing–masing yang telah menjalankan tugas pertama masing–masing pada tahun yang lepas.

Beberapa agenda telah diperbincangkan bersama–sama biro adalah seperti perubahan kecil struktur organisasi JKKK, Skim Pembesaran Kampung (SPK), dan isu–isu berbangkit yang lain.

Sepanjang mesyuarat berlangsung, para ketua biro telah diberi peluang untuk menyuarakan pendapat, penambahbaikan dan perancangan sebagai pengisian jadual aktiviti JKKK Teh Labak untuk sepanjang tahun 2020.

Di akhir mesyuarat, KK Daniel telah menyampaikan sijil lantikan kepada ketua dan penolong ketua biro masing–masing sebagai tanda penghargaan dan pemangkin motivasi agar lebih bekerja keras untuk memantapkan lagi imej JKKK Teh Labak di sekitar Mukah khasnya.

Sebagai penggulung kepada penangguhan mesyuarat, KK Daniel sentiasa mengingatkan para jawatankuasa  tertinggi dan biro–biro agar mempunyai sikap amanah, berintegriti tinggi dan bertanggungjawab agar harapan yang telah diletakkan di bahu mereka oleh warga Teh Labak, diterjemahkan kepada hasil yang memanfaatkan, baik pada masa kini, mahupun pada masa yang akan datang.

Gambar 1: Ketua Kaum (KK) Daniel bin Raping bersama – sama ahli mesyuarat selepas upacara penyampaian sijil lantikan jawatan biro masing – masing.