Friday, August 19, 2022

Ngabang buktikan prinsip keterbukaan

Secara Rawak

BETONG: Nilai belas kasihan serta sifat kekeluargaan yang dikaitkan dengan Tahun Tikus dalam kalendar Cina akan dijadikan teras Persatuan Chung Hua Betong bagi memastikan hubungan baik antara kaum dan menjaga kebajikan mereka yang kurang berkemampuan.

Pengerusinya Charlie Wong berkata, selama ini persatuan itu komited dalam segala hal melibatkan kemasyarakatan tanpa mengira perbezaan latar belakang.

“Sepanjang tiga tahun bergelar pengemudi, saya amat memberi fokus mengeratkan silaturahim antara kaum lebih-lebih dengan persekitaran di Betong yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Kami bersyukur kerana hubungan baik antara kaum semakin erat. “Misalnya amalan ‘ngabang’ pada Tahun Baharu Cina membuktikan prinsip keterbukaan dalam kalangan masyarakat itu cukup baik.

“Bukan sahaja rakan berbangsa Cina yang datang berkunjung, tetapi semua ada iaitu Melayu dan Iban pun ada. Bagi saya suasana harmoni sebegini wajar dipertahankan,” katanya di sini, semalam.

Jelasnya, persatuan itu selama ini turut menjaga kebajikan orang kelainan upaya dan keluarga susah, dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan baik dalam kalangan ahli. Wong berharap bersempena Tahun Baharu Cina, persatuan itu akan dapat memainkan peranannya secara berterusan.

Wong seterusnya menyatakan rasa terharu atas kunjungan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Penasihat Sains Penyelidikan Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri dan Adun Layar Gerald Rentap Jabu bersama-sama ahli keluarga.

“Sungguhpun tidak lama tetapi cukup bermakna bagi keluarga saya. “Ini menunjukkan pemimpin di Sarawak cukup prihatin soal perpaduan kaum. “Sehubungan itu saya berharap amalan kunjung-mengunjung pada musim perayaan dapat dikekalkan supaya generasi baharu memahami akan maknanya,” jelasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru