WABAK novel koronavirus (2019-nC0V) telah menggemparkan dunia.

Ia pada mulanya dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandar Wuhan, China apabila penduduk tempatan mengalami penderitaan radang paru-paru tanpa sebab yang jelas.

Melalui persamaan analisis terhadap susunan protein koronavirus, saintis mendapati koronavirus ini berkemungkinan besar berasal daripada ular. Penerbitan dalam talian yang membuat liputan terkini kajian virus berkenaan, The Conversation melaporkan, haiwan berbisa itu memburu kelawar dalam hutan dan ia sering dijual di sebuah pasar makanan laut di Wuhan.

Pasar Makanan Laut Wuhan disifatkan ‘pusat lambakan’ haiwan eksotik daripada anak serigala hinggalah kepada musang. Pelbagai haiwan dan produk berasaskan haiwan eksotik dijual, antaranya serigala yang masih hidup, buaya, ular, tikus, burung merak, landak serta unta dengan jumlah keseluruhannya 112 jenis.

Penyebaran virus ini merupakan satu peringatan kepada orang ramai supaya tidak memakan haiwan liar bagi mengelak jangkitan zoonotik.

Kita di Malaysia sudah cukup bernasib baik, kerana pihak penguat kuasa sentiasa memantau menangkap atau menjual hidupan liar.

Wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang pernah berlaku sebelum ini dikaitkan dengan pengambilan daging musang di China sehingga menyebabkan ratusan kematian.

Setakat ini empat kes sudah sah dicatatkan di negara ini. Suspek terbaru di Sarawak merupakan warga China yang kini masih dikuarantin di Hospital Bintulu.

Lebih 2,500 kes dilaporkan di China dengan jumlah kematian lebih 80 orang setakat ini di seluruh dunia. Negara yang terkena tempias koronavirus ialah Thailand, Hong Kong, Macau, Australia, Singapura, Jepun, Perancis, Taiwan, Amerika Syarikat, Vietnam, Korea Selatan dan Nepal.

Kebanyakan kematian melibatkan golongan tua memiliki daya tahan imun sistem yang rendah. Jika disebut ubat-ubatan, ia merujuk kepada langkah pencegahan menggunakan vaksin dan langkah rawatan menggunakan ubat-ubatan antiviral.

Pada masa ini, pengurusan jangkitan hanya mengkhususkan kepada menghilangkan simptom jangkitan. Usaha untuk menghasilkan vaksin oleh beberapa kumpulan kajian daripada beberapa buah negara sedang giat dijalankan.

Jika tiada ubat, apa langkah-langkah yang ada? Konsep dalam menangani wabak koronavirus kini lebih berfokus kepada langkah pencegahan. Orang ramai perlu memastikan kebersihan menjadi keutamaan dalam setiap keadaan. Pastikan tangan sentiasa dibasuh dan elak daripada berinteraksi secara langsung dengan mereka yang dijangkiti.

Pemakaian topeng muka terutamanya daripada jenis N95 juga tindakan yang wajar bagi mengurangkan tahap pendedahan terhadap koronavirus ini. Sekiranya terdapat simptom seperti demam dan diketahui pernah secara langsung berinteraksi dengan individu yang dikhuatiri dijangkiti, segeralah mendapat rawatan di klinik ataupun hospital terdekat untuk ujian saringan.

Kuarantin oleh pihak hospital atau KKM adalah tindakan yang paling wajar kerana pesakit yang dijangkiti akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan intervensi segera boleh diambil dan tiada jangkitan kepada individu lain berlaku.

Memandangkan terdapat kebarangkalian koronavirus mampu tersebar melalui mata, petugas kesihatan benteng hadapan kini telah diwajibkan untuk memakai kaca mata pelindung sebagai langkah berjaga-jaga.

Sesungguhnya vaksin dan ubat-ubatan menjadi suatu keharusan bagi menangani virus novel koronavirus.