KUCHING: Ketua Menteri enggan memberi sebarang komen tentang pengekalan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching untuk terus mendengar kes saman Kerajaan Sarawak terhadap Petronas.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyerahkan sepenuhnya kepada badan kehakiman untuk menyelesaikan kes saman berkenaan ekoran kedegilan Petronas untuk membayar lima peratus cukai jualan terhadap produk petroleum yang digali di negeri ini.

“Biarkan badan kehakiman untuk menyelesaikannya. Saya tidak mahu memberi sebarang komen,” katanya ringkas pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada Sabtu.

Ketibaan Abang Johari disambut oleh Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Timbalan Presiden SUPP Datuk Lee Kim Shin; Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting; Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang; Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan dan Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Tambah Abang Johari yang lagi, perkara utama ialah rakyat negeri ini mengekalkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum dan agama. “Apabila perpaduan dikekalkan, semua rakyat boleh menikmati suasana perayaan dengan perasaan gembira,” ujarnya.

Pada hari pertama sambutan, Ketua Menteri turut mengunjungi Rumah Terbuka Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Datuk Seri JC Fong; Pengarah Urusan Plaza Merdeka Holdings Datuk Steve Ng; Pengarah Urusan Pusat Pakar Perubatan Normah Datuk Au Yong Kien Hoe; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen; Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang; Pengarah Unit Penguatkuasa dan Keselamatan Negeri Datuk Chia Khin Chung serta Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Kolej Segi Datuk Goh Leng Chua.

Turut mengiringi Ketua Menteri dalam kunjungan terbabit ialah dua timbalannya iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Tan Sri James Jemut Masing dan barisan kabinet negeri.