KUCHING: Jangan cuba mencuri kuasa elektrik bagi tujuan mengurangkan bebanan bayaran bil bulanan rumah anda!

Pesalah menyambung atau mencuri elektrik secara salah berdepan hukuman sehingga RM100,000 dan/ atau penjara lima tahun.

Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataan media berkata, pihaknya terus bekerjasama dengan Kementerian Utiliti dan polis menjalankan pemeriksaan meter dan operasi siasatan di seluruh negeri ini.

Pelanggan juga diingatkan tidak melayan penyedia perkhidmatan yang mendakwa dapat mengurangkan bayaran bil elektrik.

Kecurian kuasa melalui sambungan tidak sah malah berbahaya dan boleh mengakibatkan kebakaran.